Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah

Peringkat Kebangsaan

Lapan penyelidikan khusus dalam bidang sensitif dan berisiko terdedah kepada kelemahan tadbir urus dan aktiviti rasuah yang dilaksanakan oleh lapan pasukan penyelidik dari lima Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan.

Persidangan selama dua hari yang diadakan buat julung kalinya ini, merupakan inisiatif Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dalam berkongsi dapatan kajian khusus yang digerakkan oleh agensi ini bersama pasukan penyelidik kepada
umum.

Mengambil fokus tema persidangan “Mendepani Cabaran Isu Governans, Integriti dan Antirasuah, lapan penyelidikan yang dibentangkan sepanjang dua hari sesi persidangan ini mengetengahkan bidang-bidang berisiko antaranya sektor pertahanan, sektor perhutanan, sektor kesihatan dan sektor telekomunikasi. Dua sektor sosial yang turut diberi fokus oleh pasukan penyelidik ialah sektor pentadbiran institusi agama Islam dan sektor pentadbiran dan pengurusan Orang Asli, di mana tadbir urus kedua-dua bidang ini turut terdedah kepada kelemahan tadbir urus dan risiko rasuah.

Penyelidikan ini diketuai sepenuhnya oleh pakar-pakar akademik dalam bidang pengkhususan yang ditentukan mengikut skop penyelidikan. Ia antara lain bertujuan untuk mengumpul dapatan data dan statistik semasa bagi mengukur tahap risiko dan isu fokus dalam bidang penyelidikan.

Selaras dengan fungsi GIACC untuk menasihati kerajaan dalam aspek governans, integriti dan antirasuah, kesemua hasil penyelidikan ini akan diperhalusi dan dijadikan penanda aras serta asas bagi agensi mengemukakan cadangan penambahbaikan dari
aspek tadbir urus dan pembentukan integriti bagi meneruskan misi mewujudkan negara bebas rasuah.

Persidangan pada 23 dan 24 Mac 2022 di Pusat Konvensyen Movenpick ini turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook GIACCMalaysia bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Masyarakat umum serta rakan-rakan strategik yang menyokong kepada usaha pembentukan governans, integriti dan antirasuah dijemput untuk turut serta mengikuti persidangan ini secara maya.

Sedutan Aktiviti Sepanjang Persidangan