PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang diperkenalkan empat tahun lalu, perlu dinilai semula dengan mengambil kira perkembangan kebelakangan ini termasuk dapatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan dan input pelbagai pihak bagi memantapkan agenda serta visi NACP.

“GIACC sedang mengumpulkan input daripada pelbagai pemegang taruh bagi menilai keberkesanan pelaksanaan NACP yang diperkenalkan empat tahun lalu.

“Langkah ini penting memandangkan pelaksanaan NACP 2019-2023 akan memasuki tahun kelima pada tahun depan, ia sekali gus memerlukan penilaian mengenai keberkesanannya daripada pelbagai sudut.

“Kita hendak bergerak ke depan, dalam setahun lagi kita akan memasuki tahun kelima, tempoh penuh pusingan pertama NACP. Jadi, kita perlu menilai semula keberkesanan agenda pelan ini, sama ada menambah baik agenda yang sudah digariskan sebelum ini atau sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Bengkel Perancangan Senario Dalam Konteks Governans, Integriti dan Antirasuah yang berlangsung di Institut Integriti Malaysia selama dua hari, bermula semalam.

Pada 25 Januari lalu, kedudukan Malaysia dalam CPI bagi 2021 dilaporkan jatuh ke kedudukan 62, daripada tangga 57 pada 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, dilaporkan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 48 peratus, berbanding skor 51 peratus pada tahun sebelumnya, yang dinilai berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam.

Mengulas lanjut mengenai pelan berkenaan, Mohd Salehhuddin berkata, NACP 2019-2023 adalah satu ‘dokumen hidup’, yang diperkenalkan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang memberi penekanan kepada usaha untuk memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

“Kerajaan memutuskan bahawa satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini dan ia dilihat sebagai dokumen utama menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah.

“Ia adalah pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu. NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan.

“Melalui enam strateginya, NACP akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas dalam kalangan ahli politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan serta pemegang taruh dijangka membangunkan NACP dalam menangani isu integriti, tadbir urus dan antirasuah di organisasi masing-masing,” katanya.

Sumber: Berita Harian – Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional perlu dinilai semula