Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Senario dalam Konteks Governans, Integriti dan Antirasuah bertempat di Auditorium INTEGRITI, Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur pada 3 hingga 4 Februari 2022.

Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin bin Hassan hadir merasmikan bengkel dan menyampaikan hasrat GIACC bagi mendapatkan pandangan dan input pelbagai pihak bagi memantapkan agenda dan visi Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Bengkel selama dua hari ini telah dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari kementerian/ jabatan/ agensi/ badan berkanun/ sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator jemputan, kaedah pelaksanaan bengkel adalah meliputi taklimat, sesi perkongsian, perbincangan dan pembentangan oleh wakil kumpulan.

Bengkel ini merupakan usaha untuk mendekati semua pihak berkepentingan dari sektor awam, swasta mahu pun badan bukan kerajaan. Perancangan senario masa depan ini memfokuskan kepada aspek aspirasi nasional, visi, misi dan matlamat berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah. Seterusnya, para peserta terlibat secara mendalam dan menyeluruh dalam proses perancangan senario serta pembinaan naratif bagi empat senario masa hadapan.