Berita

GIACC menganjurkan kursus bersama rakan strategik UNDP, JPA dan RSOG

Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) telah menganjurkan kursus ‘Strategic Leadership Course on Governance, Integrity and Anti-Corruption’ dengan kerjasama rakan strategik iaitu United Nations Development Programme ( UNDP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Razak School of Government (RSOG) bertempat Pulse Grande Hotel, Putrajaya bermula 5 sehingga 7 November ini.

Kursus selama tiga hari ini telah dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada pegawai kumpulan pengurusan dan professional yang berpotensi dan dipilih oleh JPA.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir merasmikan kursus kepimpinan berkenaan mewakili Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Wan Azizah Binti Wan Ismail.

Sebanyak 16 individu berpengalaman yang dijemput untuk bercakap antaranya Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, Timbalan Pengarah 1,GIACC Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Pakar Reformasi Institusi UNDP, Mir Nadia Nivin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir merasmikan kursus kepimpinan berkenaan mewakili Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Wan Azizah Binti Wan Ismail.

Beliau yang membacakan ucapan Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia sedang membahaskan dan menuntut agar tadbir urus yang lebih baik dapat memberi impak kepada ekonomi dan rakyat negara ini.

“Tahun-tahun ketika berlakunya ketidakpatuhan terhadap tadbir urus yang baik telah menimbulkan kekecewaan di kalangan rakyat Malaysia, menjadikan mereka bersikap sinis dan tidak sabar terhadap apa-apa usaha pemimpin dan kerajaan.

“Adalah menjadi tangungjawab pada anda (peserta) dan saya, serta penjawat awam lain untuk mengembalikan semula kepercayaan itu..melalui program yang melatih, membina dan menguatkan pelapis pemimpin kita yang seterusnya dengan sistem nilai yang baik.

“Program yang pertama kali diadakan ini akan menjadikan penjawat awam dapat menghadapi sebarang situasi dan ujian dengan integriti yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada UNDP kerana menyokong program-program pembangunan pembentukan governans dan integriti seperti kursus ini.

Tamat.